Pagi itu, komuter sesak. Madihah salah masuk gerabak! Madihah kelalen akibat ralit membaca novel dari negara antah berantah. Sudahnya, Madihah menjadi suatu objek bernyawa yang tersepit di tepi pintu automatis yang terkatup rapat. Madihah berdiri di celah lelaki-lelaki berlengan kekar, ada yang tinggi, sederhana, rendah, berkulit cerah, gelap, sawo matang dan beraneka bau - suatu aneka latar hidup yang boleh diperhatikan hanya sekadar menaiki segala bentuk adik-beradik pengangkutan awam.
Madihah sedaya upaya mengecilkan dirinya agar dirinya tidak teroleng-oleng menyentuh lelaki-lelaki di sekelilingnya. Madihah terperangkap. Madihah memeluk tubuh. Beg galasnya digunakan sebagai perisai di bahagian belakang, lengan kecilnya pula digunakan sebagai perisai di bahagian depan. Sekali sekala, tangan Madihah seakan bersedia menggunakan jurus super saiyanya untuk menolak lelaki-lelaki yang berkemungkinan tertolak oleh hukum inersia lalu menimpa dirinya apabila komuter teroleng-oleng menggila atau tersengguk-sengguk kesemputan.
Madihah mengerling beberapa kali pada lelaki-lelaki yang duduk di kerusi bertentang dengannya. Ada lima kerusi di situ - penuh. Duduk lima orang lelaki yang sihat, bertubuh sasa dan berwajah boleh tahan rupawannya. Di kerusi paling hujung bertentang dengan Madihah, seorang lelaki bertopeng biru sedang duduk. Lelaki itu memakai baju kemeja berwarna kelabu dan berseluar panjang berwarna coklat. Di telinganya terlekap head phone berwarna merah hati. Lelaki itu nampaknya sangat khusyuk dengan apa yang didengarinya.
Madihah berhenti memerhati.
Ketika Madihah sedang menggelamun, melayang jauh ke The Pont des Arts, tiba-tiba angan-angan Madihah terganggu oleh satu tangan yang tergawang-gawang di depan matanya. Ada satu suara menyerunya, 'Awak!'. Madihah masih buat tidak tahu. Sekali lagi suara itu menyeru, 'Awak!' kali ini sedikit kuat. Madihah mengangkat kepala. Mencari suara lelaki itu.
Mata Madihah melilau. Sebelum matanya terhenti pada lelaki bertopeng di depannya. Lelaki bertopeng itu menepuk-nepuk kerusi tempat dia sedang duduk. Madihah masih kaku. 'Awak, duduk sini.' kata lelaki bertopeng itu. Lelaki itu berdiri - tinggi.
Madihah, memandang lelaki bertopeng itu. Anak mata mereka bertemu. Madihah memberi kuntuman senyum sambil mengucapkan 'terima kasih'. Lelaki bertopeng itu membalas senyuman Madihah, lewat matanya. Madihah terpana.
Fikir Madihah, lelaki itu mahu turun di stesen UPM, tapi nyata Madihah silap. Sepanjang perjalanan ke KL Sentral, lelaki bertopeng itu terus berdiri. Sementara Madihah duduk. Dalam hati, diam-diam Madihah mendoakan semoga lelaki budiman bertopeng itu dirahmati Allah di atas kebaikannya.
Madihah percaya, lelaki baik masih wujud lagi dalam dunia ini. Madihah mengulum senyuman, manis!