Seperti yang ramai sedia maklum, Penulis hebat negara iaitu Pak Azizi Hj Abdullah telah pulang ke rahmatullah, semalam. Saya tidak mengenali beliau secara peribadi, namun begitu saya membaca beberapa karya beliau.
Kali pertama saya diperkenalkan dengan karya beliau ialah hadiah pemberian seorang rakan blogger. Tajuk buku tersebut ialah Seorang Tua Di Kaki Gunung. Kemudian, atas permintaan rakan blogger yang sama yang mahu hadiah hari lahirnya dihadiahi buku Kawin Kawin karya Allahyarham, maka itu adalah novel kedua karya beliau yang saya baca. (Atas alasan merasakan buku ini mempunyai nilai kekritisan yang tinggi, maka saya juga telah menghadiahi buku ini kepada beberapa orang rakan yang lain - dengan harapan mereka juga dapat menghadam karya ini sebaiknya).
Saya pernah diminta mengulas mengenai cerita Kawin Kawin di blog ays dulu, tapi tak berkesempatan. Novel Kawin Kawin ini jika di baca pada lapisan luar ceritanya, ia adalah mengenai watak seorang lelaki bernama Malang yang tergila-gilakan Mass Umm dan kemudian Siti Menurra. Lapisan luar lebih kepada penekanan pelbagai cerita mengenai perkahwinan, yang ada macam ragam manusia demi mengecap perkahwinan dan memuasi kehendak sendiri.
Namun jika di dalami pada lapisan kedua cerita ini, kita akan dapat mengetahui cerita di atas cerita Kawin Kawin ini iaitu mesej mengenai hal ehwal politik negara kita, melibatkan beberapa pihak dalam partai-partai terkuat di negara kita. Terdapat beberapa watak tokoh politik di dalam negara juga yang telah dijadikan watak dalam buku ini (tapi dinamakan dengan nama yang berbeza). Memang sewajarnya novel ini memenangi Hadiah Sako 2 kerana kemampuan penulis menggarap cerita dengan baik dan mantap.
Mungkin, bagi sesetengah orang, cerita Kawin Kawin ini cerita picisan, Malang (watak utama dalam cerita ini) cuma tidak lain lelaki yang tergila-gila Mas Umm yang gemar menarik bulu ketiaknya.
Namun hakikatnya, seperti yang boleh dibaca di kulit belakang novel kawin kawin ini:
KAHWIN. Bahagian hidup yang utama. Utama demi mencapai segala maksud, memaknakan segala cita-cita. Kerana kahwin fitrah kehidupan, ia biasa dipandu nafsu. Nafsu mahu mengongsi, memiliki dan menguasai, yang kadang-kadang terpaksa merebuti dan menjuarai.
Kawin-kawin ada cerita: kejamnya kahwin paksa
sakitnya kahwin tak jadi
seksanya kahwin tak merasa
Kawin-kawin kisah orang kahwin mut'ah, kawin pakai kontrak
Kawin-kawin kisah orang kahwin mahu tegakkan syariat
Kawin-kawin penuh tafsiran tentang perlumbaan, penguasaan, pencekcokan, kejujuran, keimanan
Kita kehilangan seorang penulis besar negara. Semoga Almarhum dirahmati Allah.
Al-Fatihah.