Rabu, 3 September 2014

I'm Fine, Safe & Sound

Tiba-tiba, rasa hendak ke mari.

Banyak yang sudah berubah. Rakan-rakan blogger sudah ramai yang menghilang. Ada juga yang masih diperpanjangkan jangka hayat perhubungan itu di FB. Tidak kurang juga melalui Instragram dan Whatsapp. Dunia hanya di hujung jari adakalanya semakin menjarakkan kita dengan kesibukan-kesibukan yang lain, yang adakalanya sekadar dibuat-buat atau mungkin hanya bersebabkan malas.

Saya kini bertugas di satu daerah yang kurang membangun di Sabah. Hampir setahun saya mendiami Sabah, pilihan yang saya buat dengan rela hati -  tanpa paksaan dari sesiapa mahupun rasa terpaksa. Ya, saya yang menyerahkan diri supaya dihantar ke sini. Negeri yang dari segi pencapaian pendidikan yang paling teruncit (yang bermaksud tercorot) di Malaysia. Rasionalnya saya minta dihantar ke sini - 1) kerana tiada siapa sudi mahu dihantar ke sini - jika tiada yang sudi dan terlalu pentingkan diri, kasihanlah anak-anak yang dahaga ilmu di sini. 2) kerana kecintaan saya kepada pengembaraan - penghijrahan ini saya fikir perlu demi membuka perspektif baru dalam hidup saya di samping menimba ilmu dengan berkembara sambil melihat dan berfikir. 3) kerana saham, supaya saya dan kedua ibu bapa saya cepat 'kaya'.

Secara mayanya, saya sudah semakin 'mati' di arena penulisan blog. Di FB sekadar membaca status rakan-rakan mahupun melihat gambar-gambar yang dimuat-naik; sekali sekala, ada juga saya memuat-naik gambar dan mengemaskini status - itupun boleh dikira dengan jari. Saya fikir, saya lebih aktif di instagram. Saya banyak memuat-naik gambar-gambar yang saya ambil di sekitar Sabah ini. Lagipun, instagram tidak memerlukan saya menaip ayat panjang-panjang, memandangkan sekarang saya agak 'gayat' untuk mengarang ayat. Sudah kematian idea, barangkali.

Perkembangan-perkembangan lain, akan saya update dalam entri akan datang kalau rajin.

Jumpa lagi.

Salam.