Ahad, 12 April 2015

Saya Hitam

Begitulah tajuk entri kali ini (setelah sekian lama berhibernasi, kononnya-lah! Ahaks!)

Hari rabu minggu lalu, saya menjadi guru pengiring merangkap jurulatih merangkap pengurus pasukan bola jaring bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun sekolah saya. Bersama saya, ada lagi 3 orang guru pengiring merangkap jurulatih dan pengurus pasukan. Perlawanan berlangsung di sebuah sekolah pedalaman di daerah saya. Kalau ikut kumpulan, sekolah penganjur adalah sekolah Pedalaman 3. Walaupun sekolah ini kedudukannya di pedalaman 3, namun begitu sekolah ni memang super cantik lah! Macam sebuah mahligai di tengah hutan, gitulah umpamanya. Kalau nak dibandingkan dengan sekolah saya, jauh bezanya. Sekolah saya sangatlah daif, biasalah sekolah tertua di daerah. Haruslah uzur segalanya.

Ok berbalik kepada perlawanan bola jaring. Setelah melalui perjalanan yang mencabar selama lebih kurang 2 jam lebih, maka tiba lah 2 pasukan sekolah saya di sekolah penganjur. Ada dalam kalangan pemain sekolah saya ini tidak pernah langsung sampai ke sekolah tersebut. Mujurlah saya memang sudah banyak kali sampai ke sekolah tersebut memandangkan tahun lalu saya perlu beberapa kali mentaksir kertas Bahasa Inggeris sekolah tersebut, jadi tak ada lah cikgu dia ni goyah sangat bila sampai di sana.

Sampai-sampai sahaja di sekolah tersebut, undi-undi aje kedua-dua pasukan sekolah saya diundi berlawan dengan pasukan tuan rumah. Alahai. Pasukan tuan rumah memang terkenal dengan kejaguhannya. Senang cerita, semua sekolah pedalaman di Sabah ini memang menghasilkan jaguh-jaguh sukan sekolah yang handal. Daerah utama yang ada jaguh ni umpamanya macam di Ranau, Pensiangan dan lain-lain.

Disebabkan para pemain masih pening lalat, mual kerana melalui perjalanan yang jauh dan mempunyai rasa yang terlalu gementar sehingga menganggap pasukan tuan rumah itu umpama langsuir yang menakutkan, maka pasukan sekolah saya tewas dengan penuh bergaya. Haha. Tak apa, cikgu dia masih relax. Siap boleh bergelak ketawa sepanjang pertandingan berlangsung.

Memandangkan tuan rumah adalah sekolah pedalaman, maka perlawanan mahu disingkatkan kepada satu hari sahaja (perancangan awal 2 hari), di sini lah tragedi 'kebakaran' kulit cikgu terjadi. Perlawanan berlangsung dari pagi (sekitar jam 9. Di Sabah, jam 9 ini mataharinya sama dengan jam 10) sehinggalah menjelang maghrib. Ditambah pula dengan kedudukan sekolah yang berhampiran laut, lagilah menjadikan cikgu mereka terbakar. Menjelang jam 12, semua pemain sudah menegur mengatakan 'CIKGUUUUUUU!!!! MERAHNYA MUKA CIKGU!!!!'. Memang serius, merah yang amat, macam warna udang bakar gitulah gamaknya.

Keputusan perlawanan, pasukan bawah 18 kami hanya mampu mendapat tempat ke 4 sementara pasukan bawah 15 kami mendapat tempat naib juara. Keputusan yang membanggakan sebenarnya. Tak sia-sia 'mendera' budak-budak ni selama 2 bulan. Hehe. Yang paling penting, budak-budak ni berjaya membuktikan kepada cikgu-cikgu sekolah kami yang memandang rendah terhadap kemampuan mereka (terutamanya cikgu-sains-sukan-yang-baru-posting-bulan-januari-tahun-ni-yang-banyak-bunyi-tapi-bila-minta-tolong-training-malas-dan-banyak-alasan. Kah kah kah - gelak jahat).

Hari khamis, saya ke sekolah. Muka memang merah padam dan pedih. Rasa nak sorokkan muka pun ada sebab semua orang tegur pasal muka saya. Nak mengajar dan bercakap pun pedih. Puh puh! Tapi mujurlah pada hari jumaat dan sehingga ke hari ini, kulit saya sudah tidak merah dan pedih sangat lagi. Tapi dah menjadi hitam. Pfffttt!

Serius, saya rasa tak sia-sia saya terbakar dan menjadi gelap. Saya bangga dengan anak-anak saya. Mereka sudah mencuba sehabis baik dan membuktikan kemampuan mereka. Hoyeahhh!