Jumaat, 12 Julai 2013

Puasariah & Sabarun

Akira tahu, bulan puasa ialah bulan berpuasa segala-galanya. Baik lahiriah mahupun batiniah. Bulan puasa bulan menahan kesabaran, bulan saling menerima semua seadanya - apa adanya dia, walau bagaimanapun busuknya dia.

Namun begitu, sabar Akira ada batasnya. Sabar Akira, sabar perempuan-perempuan tipikal bersifat makcik-makcik; yang kerap kali sabarnya goyah tak tertahan oleh gangguan-gangguan yang memalit kebusukan pada hidup Akira yang selalu wangi, indah dan sentosa.

Beberapa kali juga Akira menahan sabarnya, tapi, ternyata dia sentiasa menggugah kesabaran Akira. Sifat dia yang tidak tahu malu walaupun sedia tahu dirinya tidak dialu-alukan. Amaran juga diberi beberapa kali, tapi tetap dia terus mengganggu keharmonian hidup Akira.

"Dia memang benar-benar makhluk perosak kebahagiaan aku!" getus hati Akira. Geram.

Akira menanam iltizam. Ada senyum yang tersungging di bibir Akira. Misteri.

"Esok, perhitungan kita! Titik!"