Mala duduk bersandar pada kerusi kayu, matanya masih terus menumpu pada skrin komputer ribanya. Meja kerjanya yang berselerak dengan longgokkan jurnal-jurnal yang merayu-rayu untuk merabakkan biji matanya langsung tidak diendahkan. Fokus Mala sudah lari. Berhari-hari Mala berfikir dan cuba memurnikan kotak fikirnya. Namun begitu, firasat Mala tetap mengatakan; itu adalah Wak Berahim.
Mala masih ingat lagi, lebih kurang tiga tahun sudah, dia berhenti menulis gara-gara gangguan yang menjengkilkan sehinggakan banyak tindakannya menjadi kurang siuman dan secara tidak langsung, dia melukakan hati banyak orang. Atas sebab itu, Mala telah mengambil keputusan untuk menghilangkan diri dan bernomad-nomad demi mengelakkan diri daripada dikesan. Jauh di sudut hatinya, dia rasa bersalah pada rakan-rakannya kerana menghilangkan diri; namun begitu, demi tidak memeningkan kepala sendiri, membengongkan emosi dan membangangkan tingkah laku, maka dia berhenti menulis - di situ.
Entah bagaimana, semenjak beberapa bulan ini; tidak semena-mena, watak Wak Berahim itu wujud kembali. Dan Mala mula berfikir untuk berhenti menulis.
Mala masih duduk bersandar pada kerusi kayu, matanya masih menekuni skrin komputer ribanya sambil mencicip kopi O panas.
