Khamis, 24 Mac 2011
Sekali-Sekala Mensosialkan Otak, Apa Salahnya Kan.
Saya menonton dokumentari ini kira-kira tiga bulan yang lalu. Dokumentari mengenai perjalanan T-shirt terpakai dari Amerika Syarikat ke negara-negara Afrika. Pakaian-pakaian terpakai yang sudah tidak dikehendaki oleh warganegara Amerika akan dijual kembali di Afrika. Afrika adalah pengimport terbesar T-Shirt terpakai dari Amerika.
Walaupun Afrika sudah bebas daripada cengkaman penjajah dan penghambaan, namun begitu Afrika masihlah rantau termiskin (walaupun mempunyai hasil bumi yang produktif). Mengikut rekod tahun 2006, rantau miskin ini mempunyai 922 juta penduduk yang tinggal di 54 negara yang berbeza. Dari 54 buah negara tersebut, hampir separuh dari negara itu di kumpulankan sebagai negara-negara paling termiskin di dunia dan mempunyai hutang tidak berbayar yang besar.
Dalam dokumentari ini, kita dapat lihat, bagaimana barat masih menjajah ekonomi Afrika dan menghalang Afrika dari terus bangkit dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik. Bagi saya, walau bagaimana dunia mengatakan bahawa tiada prejudis terhadap warna kulit dan rupa; namun begitu hakikatnya itu hanyalah kata-kata manis yang hanya menjadi modal para pemimpin dan sekadar pencantik buku-buku teks/buku-buku ilmiah. Semua pihak mempunyai agenda tersembunyi - prejudis itu masih ada.
Saya melihat, ketidakupayaan ekonomi Afrika telah menyebabkan Afrika seakan-akan menjadi negara untuk menerima barang-barangan terpakai (atau sampah-sampah?). Dalam ekonomi, setiap barangan/produk yang terdapat dalam ekonomi mempunyai kitar hayatnya yang tersendiri - apabila kitar hayat sesuatu produk itu sudah habis di barat, cara untuk memperbaharui kitar hayat produk tersebut ialah dengan mencari negara lain dan 'memaksa' negara tersebut untuk meneruskan kitar hayat barangan/produk tersebut. Maka Afrika-lah yang menjadi mangsa untuk menerima segala sampah-sampah yang sudah tidak dikehendaki oleh barat akibat daripada ketidakmampuan ekonomi Afrika itu sendiri.
Rantau Afrika sudah lama didera dengan penghambaan dan penjajahan sejak beratus tahun dahulu. Lebih malang lagi, segala hasil bumi Afrika telah disapu bersih oleh pihak penjajah sehinggakan kebanyakkan hasil bumi dan perusahaan di Afrika sehingga kini masih dimiliki oleh bekas penjajah mereka. Kedegilan (dan bolehlah saya katakan sebagai ketamakkan) bekas penjajah untuk memulangkan kembali semua hak-hak yang seharusnya menjadi milik masyarakat Afrika adalah sesuatu yang harus dikecam. Hasil bumi dan perusahaan yang seharusnya menjadi hak orang Afrika tapi masih dijajah oleh pihak barat adalah salah satu aspek pemaksaan terhadap ekonomi Afrika untuk terus bergantung kepada ekonomi barat/ekonomi luar. Kebergantungan yang keterlaluan ini adalah pelumpuh ekonomi Afrika untuk berdiri dan seterusnya berlari kencang.
Ketidakupayaan ekonomi Afrika juga telah diburukkan lagi dengan perang saudara, pemberontakan dan segala macam kacau-bilau domestik. Dalam hal ini, saya melihat barat sengaja untuk tidak campur tangan (dan adakalanya terlebih campur tangan - contoh Libya) untuk memastikan ekonomi Afrika terus lumpuh dan terus bergantung kepada mereka. Melumpuhkan sistem sosial dengan tidak memberi bantuan /kepakaran serta ketidakupayaan pemerintah Afrika untuk memberi sistem pendidikan yang baik kepada warganya adalah satu cara untuk terus mematikan negara-negara Afrika. Jika, rantau Afrika dapat bangkit seperti China, saya pasti ini adalah suatu yang amat ditakuti oleh barat kerana Afrika mempunyai hasil bumi yang banyak, tanah untuk dibangunkan yang luas serta mempunyai buruh yang ramai (yang boleh dibayar dengan upah yang rendah dan seterusnya mengurangkan kos produk dan menurunkan harga produk secara keseluruhannya). Hal ini sudah tentu menjadi ancaman kepada ekonomi barat.
Kesimpulannya, saya melihat dokumentari T-Shirt Travels ini dalam perspektif yang lebih luas. Saya melihat Afrika adalah negara yang terpaksa menjadi tempat pembuangan sampah - untuk meneruskan kitar hayat produk demi keuntungan di satu belah pihak sahaja dan rakyat Afrika terpaksa menerimanya dengan redha akibat ketidakupayaan pemimpin (banyak rasuah/kronisme), kegagalan urus-tadbir ekonomi, sosial dan politik serta campurtangan bekas penjajah yang menguasai ekonomi/hasil utama negara Afrika.