Kawan saya kata, Allah tak sayang dia. Kata dia:
Aku dah penat jadi orang baik Akira. Jadi orang baik pun tak dapat apa-apa, hidup makin teruk adalah. Lebih baik jadi orang tak baik jek macam ni. Aku rasa Tuhan tak sayang aku. Banyak sangat benda teruk jadi dalam hidup aku. Aku tengok orang lain, tak baik macam aku tapi hidup dorang tak adalah teruk macam aku. Aku bosan dah jadi orang baik. Bosan tahu tak Akira!
Selaku kawan, saya hanya menadah telinga untuk mendengar segala hamburan kekecewaannya. Bagi saya, orang-orang sebegini memerlukan seseorang untuk menjadi pendengar yang tidak mengadili mereka - yang tidak pula menyokong dan tidak pula membangkang ketika mereka sedang meluahkan kekecewaan dan kemarahan. Seseorang yang boleh memberi mereka ruang sepenuhnya untuk bercakap segala-galanya dengan sepuas-puasnya.
Saya beri dia masa hampir sejam untuk meluahkan perasaannya dan menangis sepuasnya. Dan dia menggunakan masa tersebut semaksimanya untuk meluahkan perasaan.
Apabila dia sudah puas, tiba giliran saya pula untuk bercakap
"Semua benda dalam hidup ni ujian. Kau cantik ke hensem ke, ujian. Kau buruk pun ujian. Kau pandai, ujian. Kau bodoh, ujian. Kau baik, ujian. Kau jahat, ujian. Kau pendek, ujian. Kau tinggi, ujian jugak. Kau gembira, ujian. Kau sedih, ujian. Pendek kata, dalam hidup ni semuanya ujian. Tak ada benda yang bukan ujian. Kau tahu, ujian dalam bentuk kesusahan, kesedihan, kekecewaan ni jauh lebih senang berbanding dengan ujian kesenangan, kegembiraan, dan kebanggaan tau. Cuba kau tengok, berapa ramai orang yang diuji dengan kesenangan, kegembiraan dan kebanggaan ni makin jauh dengan Tuhan dan terlupa Tuhan? Tengok kau, sekarang kau kecewa, kau sedih kan kau terus ingat Tuhan - walaupun cara kau ingat Tuhan tu tak berapa bagus sebab kau macam tak puashati dengan Tuhan kan, tapi kau masih ingat Tuhan. Cuba kalau kau gembira, senang; ada kau cepat-cepat berfikir pasal Tuhan masa kau tengah ketawa? Tak ada kan. Yang penting dalam apa situasi pun, cari Tuhan Irna. Carilah Tuhan. Jangan mudah mengalah."
Sebenarnya, perbualan ini berlangsung agak panjang dan laaaaaaaaaaama. Banyak yang dibualkan dan dirungkaikan. Realitinya, walau betapa kuat, macho dan dewasanya seseorang itu, apa yang kawan slash kita nak cuma seseorang yang boleh dipercayai untuk mendengar dan berbual apa sahaja tentang hal peribadi kita, kan. Di sisi yang lain, diri sendiri pun dapat dimuhasabahkan.
Apa yang kita nak sebagai manusia ialah seorang manusia lain yang boleh mendengar ketika kita meluahkan sesuatu, begitu juga sebaliknya. Dan kalau nak difikir-fikirkan, itu juga tanda Tuhan sayang kita sebab Tuhan hantar kepada kita seorang manusia untuk mendengar dan seorang manusia untuk berkata-kata untuk membolehkan kita sentiasa berfikir dan menguntai hikmah. Sebenarnya, jadi tukang dengar masalah orang ni akan buat kita makin banyak berfikir dan bermuhasabah diri. Mungkin sabda Rasulullah SAW ini boleh dijadikan panduan.
“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (HR Bukhari dan Muslim).
Siapa bilang Tuhan tak sayang kan? Dalam setiap benda yang terjadi dalam hidup ini pasti ada hikmahnya dan tak kira apa benda yang kita miliki semuanya ialah ujian kepada kita. Oleh kerana Tuhan sayang pada kita, maka Dia uji kita supaya lebih dekat denganNya.
Carilah Tuhan, kawan. Carilah Tuhan.