Selasa, 6 Disember 2011

Cabaran 30 Hari - Hari #14

14. Bila dah besar nak jadi apa?

Sewaktu kanak-kanak, cita-cita standard ialah menjadi cikgu, peguam, doktor, jurutera, askar, bomba, polis, juruterbang.

Sebab, itu adalah antara kerja-kerja yang disogokkan dalam kepala otak kita sejak dari kecil lagi (saya rasa dari dalam perut lagi kot?). Saya rasa, semua kanak-kanak (mungkin engkau yang sedang membaca ini juga), mempunyai cita-cita yang lebih kurang sama dengan cita-cita yang saya ada masa zaman kanak-kanak.

Sewaktu kanak-kanak, saya bercita-cita mahu menjadi doktor, pemain bola tampar, askar dan juruterbang. Ketika itu, berlaku kecelaruan pilihan akibat pengaruh tivi. Bila tengok cerita Maero Attack, terus mahu jadi pemain bola tampar yang handal yang mampu menewaskan lawan, pergh! Bila tengok cerita Dr Quinn, terus mahu jadi doktor yang berjiwa besar. Bila tengok cerita Airwolf pula, terus mahu jadi juruterbang merangkap asekar merangkap penyiasat yang best. Itu belum lagi pengaruh Ultraman, Doraemon, Maskman, Satria Baja Hitam, Tomatoman dan yang sama waktu dengannya.

Namun begitu, apabila saya besar sedikit, saya bercita-cita mahu menjadi pelukis. Ini adalah akibat terpengaruh dengan satu iklan nescafe sekitar tahun 90-an. Lukisan cawan-cawan nescafe yang montel berwarna merah berlatarbelakang biji-biji kopi. Semenjak itu, saya gigih memprektis bakat terpendam saya. Tidak kira di mana, kertas, buku, dinding dan lantai menjadi mangsa.

Tapi bila masuk sekolah menengah, saya bercita-cita menjadi pemuzik dan penulis lagu memandangkan saya kerap disuruh kawan-kawan menjadi tukang tulis lagu dan penasihat bunyi. Tapi dalam masa yang sama, saya juga bercita-cita untuk menjadi ahli sejarah.

Bila masuk asrama. Cita-cita nak jadi petani berjaya. Yang ada ladang lembu gemuk gedempol seperti di NZ yang riang ria meragut di padang ragut yang luas. Bersebelahannya pula, ada ladang jagung yang saujana mata memandang yang dipisahkan oleh sebatang sungai yang ada kincir air. Pergh!

Masuk kolej, saya bercita-cita mahu menjadi penganalisis data pula.

Bila masuk U, terus tak ada cita-cita. Heh.

Habis belajar, kerja sebagai web designer, pengaturcara, tukang buat akaun, tukang mengunjur risiko, pengajar dan akhirnya, saya mula sedar kebolehan diri saya yang sebenarnya.

Dan sekarang, saya sedang mengejar mimpi-mimpi saya. Harap-harap dipermudahkan dalam usaha saya mengejar mimpi-mimpi tersebut.

Usia bukan penghalang untuk engkau terus bermimpi dan mengejar mimpi sebenarnya. Kita yang sering meletak penghalang kepada diri kita sendiri sehingga kita tidak dapat menyedari kebolehan diri sendiri. Tak salah untuk terus bermimpi, yang salahnya apabila engkau berhenti bermimpi.